Tuesday, June 19, 2012

Mencari Kelemahan Diri

"Selalu saja ada tahap-tahap yang dilakukan oleh syaitan untuk menjerumuskan kita dalam perangkapnya"
Kita memiliki titik-titik lemah yang mungkin berbeza. Setiap manusia penting untuk mengetahuinya. Jangan jadikan kelemahan itu tali yang mengikat kaki untuk bergerak. Jadikanlah kelemahan ruangan bagi kita belajar dan menguasai teknik untuk mengatasinya. Jelas fitrah setiap manusia ada kelebihan dan ada kelemahan. Kelebihan yang ada dalam diri seseorang itu mungkin menjadi kebanggaan buatnya namun bagaimana pula dengan kelemahan yang dimiliki diri? Pasti memberi kesan negatif kepada seseorang. 



Salah  satu faktor tergelincirnya kita dari jalan kebenaran ke jalan musuh yang nyata ialah faktor kelemahan iman. Iman ibarat pohon yang perlu dibajai sentiasa dan baja itu ialah amal ibadah kita. Sekiranya amal ibadah kurang maka menurunlah iman, jika amal ibadah setiap hari bertambah-tambah maka bertambah jugalah iman. Sebenarnya apa yang penting buat kita ialah mengekalkan keimanan, erti kata lain iman yang konsisten. Boleh bertambah namun tidak berkurang.


Saudaraku,
Kekasih Allah Muhammad s.a.w merupakan Insan yang dimuliakan oleh Allah memberikan tips-tips untuk meningkatkan keimanan dalam diri kita dengan melakukan amal ibadah yang istiqomah seperti ini :


1) Solat subuh berjemaah
2) Menjaga zikir harian (pagi dan petang)
3) Menjaga wirid tilawah al Quran setiap hari
4) Memelihara Qiamulail


Semua itu menambahkan tenaga dan kekuatan benteng jiwa dan tubuh untuk melanjutkan perjalanan hidup di dunia yang sementara ini. Amal ibadah yang berterusan menghamparkan kelapangan hati dan meniupkan sejuknya kesabaran ke dalam hati untuk terus menapakkan kaki dan melangkah. Menjadikan kita insan yang gembira dan redha kerana Allah swt. Kita akan terasa lebih dekat dan semakin dekat dengan Allah swt meskipun ketika menghadapi kesulitan.


Saudaraku,
Renungkanlah baik-baik bahawa dimensi kelemahan dalam keimanan dan ibadah itu tidak terjadi sekaligus. Ia terjadi secara bertahap, sedikit demi sedikit, sehingga sukar untuk kita mengesannya kecuali di saat penurunan semangat dan tingkat kemalasan itu terasa sangat membebani kita dalam melakukan ketaatan.


Syaitan terus menerus membisik untuk menjerumuskan kita dalam lembah kekufuran. Dalam Al Quran, Allah swt sudah menegaskan bahawa syaitan bersumpah untuk menyesatkan kita. Hanya orang yang ikhlas kepada Allah swt sahaja yang mendapat perlindunganNya dan selamat dari tipu daya syaitan. Syaitan tidak akan jemu untuk berusaha untuk menarik kita dari ketaatan kepada kemaksiatan, dari kesungguhan kepada rasa malas dan dari dekatnya diri dengan Allah kepada jarak yang jauh dan semakin jauh dariNya. 


"Selalu saja ada tahap-tahap yang dilakukan oleh syaitan untuk menjerumuskan kita dalam perangkapnya"


Saudaraku,
Mari kukuhkan kaki di jalan Allah Ilahi Robbi. Kita tidak mungkin mampu menghadapi dan menjalani jalan licin dan berduri ini sendiri-sendiri. Kita boleh menjadi kuat dengan kebersamaan. Kita boleh memikul amanah hidup ini dengan saling membantu untuk terus melangkah bersama.


Jangan melangkah sendiri wahai saudara-saudaraku... ^_^V


-Cahaya Zah-

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...